Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, jumlah dagangan eksport hasil sawit Malaysia ke negara-negara Asia Barat dan Afrika masih rendah ketika ini.

Beliau berkata, walaupun China telah menunjukkan komitmen untuk mengimport hasil sawit ekoran cadangan pengharaman oleh EU, namun adalah penting untuk Malaysia mempelbagai peluang pasaran dan tidak bergantung kepada satu-satu negara sahaja.

“Felcra juga akan mengadakan kolaborasi dengan beberapa syarikat besar untuk memasarkan minyak-minyak kelapa sawit kita ke Asia Barat dan Afrika.

“Kami percaya dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu peka mengenai perkara ini. Malahan, ketika pelancaran Felda 2.0 semalam, beliau juga telah memberi penekanan untuk mempelbagai usaha Malaysia bagi menangani masalah EU ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis aspirasi staf Felcra Berhad Wilayah Perak bersama kepemimpinan kerajaan negeri Perak di Dewan Saidina Omar, Institut Tadbiran Islam (Intim) di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad. - UTUSAN ONLINE