Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim berkata, program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan pasangan pengantin berkenaan.

“Kebanyakan Orang Asli di sini masih bukan beragama Islam dan program ini adalah untuk meraikan mereka yang terdiri daripada pasangan muda Islam yang telah bertemu jodoh,” katanya.

Pasangan pengantin diraikan sama seperti majlis perkahwinan orang Melayu dengan pengantin perempuan memakai inai di jari, dipakaikan busana pengantin yang lengkap seperti baju kebaya manakala pengantin lelaki berbaju Melayu dan bersamping.

Mereka diraikan oleh penduduk kampung yang terdiri daripada 45 buah keluarga tersebut.

Pegawai Daerah Betong, Thailand, Damrong Desaku serta rombongannya turut hadir meraikannya dengan membawa hadiah untuk pengantin.

Aznel turut menikahkan dua pa­sang­an pengantin di surau per­kampungan tersebut dengan setiap pengantin perempuan menerima mas kahwin RM10 daripada pasangan masing-masing.

Pengantin lelaki melafaz kalimah syahadah dan akad nikah mereka secara ringkas berikutan penggunaan bahasa Melayu mereka agak lemah.

Sebelum disandingkan, pa­sangan pengantin diarak dengan bunga manggar dan paluan kompang dipalu mengi­ringi mereka ke dewan persan­dingan.