Berusia 60 tahun, Hashim mempunyai dusun durian seluas 7.6 hektar di Permatang Kerat Te­lunjuk, Bandar Baru di Kedah namun menjual hasil kebunnya di sekitar Bagan Serai dan Kerian.

Dia menanam pelbagai jenis durian termasuk D24, durian kampung, durian Bonly atau durian Siam.

“Durian paling mahal ialah durian jenis D24 yang jual secara timbang pada harga RM15 sekilogram ke atas manakala durian Chini RM10 sekilogram ke atas. Durian ini mendapat permintaan yang tinggi dan paling diminati.

“Durian jenis D24 isinya gebu kekuningan, berulas besar manakala durian kampung isinya padat manis dan ada bau aura durian. Durian kampung juga antara yang paling digemari pembeli.

“Durian kampung pula dijual RM7 ke atas manakala durian siam RM6 ke atas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, musim durian kali ini agak lebat kerana faktor cuaca hujan dan panas seimbang berbanding musim lalu.

Dia yang dibantu isterinya menjual durian di pasar harian dan pasar di Kerian, Seberang Perai dan di Kulim.

Katanya, untuk mengutip buah durian, dia ke dusun seawal pukul 4 pagi.

“Buah durian dijual secara timbang dan longgok. Buah longgok dikelaskan antara lima hingga 10 biji selonggok pada harga RM10 sehingga RM30 namun harganya boleh dirundingkan lagi,” katanya.

Menurut Hashim, waktu paling sibuk ialah pada waktu pagi iaitu ketika mengutip buah durian di dusun dan kemudiannya menjualnya di pasar di sini.