Lebih menggembirakan bagi pemilik-pemilik dusun, keba­nya­kan pokok yang ditanam mereka menghasilkan antara 500 sehingga 600 buah durian.

Seorang peraih, Shahrir Amin Ramli, 47, yang terlibat dalam pembelian durian sejak 30 tahun lalu mengakui hasil pengeluaran durian bulan ini agak tinggi.

“Saya banyak menerima tempahan daripada pemilik dusun yang mahu menjual durian kepada saya sejak pokok-pokok mereka mula mengeluarkan hasil minggu ini.

“Purata harga durian yang saya jual kepada pelanggan adalah antara RM18 hingga RM20 sekilogram. Dalam beberapa hari lagi, kira-kira 4,000 hingga 5,000 biji durian dijangka gugur di dusun dan pengeluaran di Kampung Gajah sahaja berpotensi mencecah sehingga puluhan ribu biji,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Selain Kampung Gajah, kawasan pengeluaran buah durian tertinggi di sekitar Pasir Salak adalah Kampung Bawah Bungor, Kampung Teluk Sareh Kampung Jawa dan Kampung Pulau Tiga.

Sementara itu, Penghulu Pasir Salak, Abd. Khalim Mohamad Yahya berkata, penghasilan durian dijangka meningkat kepada 10,000 biji dan boleh menjangkau sehingga 50,000 biji menjelang penghujung bulan ini.

Beliau memberitahu, kebanyakan penduduk bersyukur kerana dapat menikmati kembali durian setelah tiga tahun dusun mereka tidak mengeluarkan hasil selepas pokok-pokok raja buah tersebut dikatakan ‘merajuk’ setelah digenangi air semasa banjir besar melanda kawasan itu tiga tahun lalu.

“Sehubungan itu, kita ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Pertanian dan lndustri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kerana sikap prihatinnya dengan menyalurkan sumbangan seperti benih durian pokok durian, baja dan racun serangga selepas insiden banjir berkenaan,” jelasnya.

Abdul Khalim juga berharap Pasir Salak akan menjadi pusat pengeluaran durian terbesar di negara ini dalam masa lima tahun akan datang.