Pertama, keenakan juadah yang disajikan iaitu dengan hampir 80 jenis ma­sakan kampung dan keduanya, suasana nyaman kerana di persekitaran res­toran tersebut ditanam pelbagai jenis pokok bunga selain terdapat kolam ikan.

Keistimewaan itu me­ru­pa­kan fak­tor men­ja­dikan pemilik res­toran berkenaan, Madiha Ahmad, 42, tidak menang tangan melayan kedatangan pelanggan.

Selain makanan yang enak, harga makanan yang dijual berpatutan, menjadikan restoran tersebut pilihan untuk menjamu selera.

Menurut Madiha, dia menyediakan ma­sakan kampung se­perti kerabu, daging kawah, ayam kampung, ikan bakar, ikan percik, ikan pa­tin masak tempoyak, sup dan soto.

Katanya, kepelbagaian tersebut memberi pelanggan lebih banyak pilihan untuk menjamu selera.

“Saya mementingkan kepuasan pelanggan. Hampir kesemua makanan adalah masakan kampung dan harganya juga berpatutan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurut Madiha, restoran tersebut dibuka pada tahun 2015 de­ngan modal yang dikumpul hasil perniagaannya menjual soto dan sup di pasar malam.

Katanya, ketika itu dia turut berniaga makanan masakan kampung dan tidak menyangka mendapat sambutan ramai.

“Melihatkan sambutan yang menggalakkan, saya akhirnya membuka restoran. Alhamdulillah, sambutannya cukup bagus dan ini memberi lebih semangat kepada saya untuk terus berjaya,” katanya.

Salah seorang pelanggan, Abduh Rahman Adnan, 49, mengakui bahawa masakan yang dihidangkan amat membuka selera.

“Harga makanan di sini berpatutan, tidak membebankan apatah lagi ketika keadaan ekonomi yang tidak begitu baik ketika ini,” katanya.