Bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai, Nur Wadihan Wira Sudepja, 10, menamatkan cabaran dengan catatan masa tiga jam 34 minit hasil bantuan bapanya, Wira Sudepja Rabu, 43, yang menolak basikal tiga roda dinaikinya untuk kategori sprint, melibatkan larian ke­seluruhan 10 kilometer dan berbasikal sejauh 32 kilometer.

Penyakit celebral palsy adalah gangguan pergerakan, tona otot dan postur yang disebabkan oleh kerosakan akibat perkembangan otak yang tidak matang, kebiasaannya pada sebelum kelahiran.

Menurut Wira Sudepja, anak bongsu daripada dua beradik itu berjaya menamatkan acara berke­naan pada tahap kesihatan terbaik biarpun baru pertama kali menyertainya.

“Pada awal larian dan kayuhan basikal, Nur Wadihan sedikit meragam sehingga menyebabkan saya terpaksa berhenti untuk memeluknya sehingga dia kembali selesa.

“Kanak-kanak yang menghidap penyakit celebral palsy ini biasanya hanya terlantar dan tidak mampu bercakap. Jadi, saya tidak tahu apa masalahnya ketika dia meragam dan hanya boleh memeluknya agar kembali tenang,” katanya ketika ditemui selepas penganjuran kejohanan tersebut.

Hadir memberi sokongan moral kepada Nur Wadihan ialah ibunya, Nur Murni Dona Mohd. Nordin, 44, dan kakak, Nur Wirdani, 16.

Pengurus Pembangunan Perniagaan MBOR, Edwin Yeoh telah menyampaikan pengiktirafan tersebut kepada Nur Wadihan.

Mengulas lanjut, Wira Sudepja berkata, antara cabaran utama yang terpaksa ditempuh ialah berdepan cuaca panas terik selain anaknya itu tidak mampu untuk meminum air dengan sendiri.

Sehubungan itu katanya, dia telah memasang empat buah kipas yang dijana tenaganya oleh power bank di tepi tempat duduk basikal yang dinaiki oleh Nur Wadihan agar dia sentiasa selesa sepanjang larian dan ka­yuhan.

“Saya juga perlu berhenti seketika untuk memberikan anak saya minuman. Ia merupakan satu cabaran buat saya kerana jika dia tidak selesa, saya terpaksa melupakan hasrat untuk mencipta rekod ini.

“Rekod baharu yang dicipta oleh anak saya ini membuktikan bahawa kanak-kanak menghidap penyakit celebral palsy juga mampu untuk menyertai dan mencipta kejayaan seperti manusia biasa,” katanya.