Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, kedua-dua mereka masing-masing berumur 26 dan 51 tahun telah melengkapkan empat dos pelalian vaksin anti-rabies dan juga telah menerima suntikan rabies immunoglobulin (RIG).

Menurutnya, kedua-dua mangsa digigit anjing peliharaan tanpa provokosi pada 25 Disember lalu dan haiwan tersebut disahkan positif rabies pada 4 Januari lalu.

“Mereka dalam keadaan sihat dan masih dalam tindakan susulan pakar perubatan di Hospital Taiping.

“Setakat ini tiada kes rabies dikesan di negeri ini khususnya di Mukim Taiping dan Bukit Gantang selepas kawasan itu diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies pada 14 Januari lalu,” katanya.

Beliau kata demikian selepas menghadiri taklimat mengenai penyakit rabies di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Boon Chye berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Larut-Matang-Selama (LMS) telah mengeluarkan surat pemakluman kepada semua pengamal perubatan di negeri ini agar memperkukuhkan pemantauan kes gigitan anjing dan haiwan lain.

Menurutnya, mereka juga harus memastikan pengurusan kes dilakukan dengan betul dan sekiranya perlu, kes harus dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Katanya, maklumat haiwan yang menggigit mangsa pula dikongsikan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan kawalan.

“Pusat Kesihatan Daerah juga telah menjalankan kempen kesedaran awam bersama-sama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

“Aktiviti berbentuk ceramah, nasihat individu, edaran risalah dan perbincangan kumpulan kecil dijalankan di sekolah-sekolah, masjid, rumah ibadat dan kawasan tumpuan orang ramai di kawasan tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE