Program tersebut yang akan berlangsung selama sebulan bermula hari ini sehingga 11 April depan di kesemua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat PLANMalaysia negeri, memberi peluang kepada orang awam untuk menyatakan sebarang pandangan, cadangan serta maklum balas berhubung dasar perancangan yang dirangka dalam DRSN tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, matlamat pembangunan Perak 2040 diterjemahkan dalam empat teras pembangunan yang antara lain melibatkan empat wilayah pertumbuhan secara bersepadu iaitu Wilayah Metropolitan Lembah Kinta, Wilayah Perak Selatan, Wilayah Perak Utara dan Wilayah Hulu Perak.

Beliau berkata, biarpun PLANMalaysia mengadakan pelbagai siri perbincangan dan kajian terperinci berdasarkan maklum balas semua pihak, namun pihaknya masih mengalu-alukan sebarang pandangan konstruktif lagi bernas berhubung perancangan tersebut yang berteraskan konsep pembangunan lestari.

“Perancangan ini akan memberi satu lagi perspektif baharu untuk meningkatkan lagi pertumbuhan bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga soal kependudukan, sosial dan peluang pekerjaan.

“Apa yang disediakan ini adalah perancangan draf yang boleh dipertimbangkan sehingga tahun 2040 dan ia bukan bersifat kekal tetapi boleh disesuaikan mengikut masa. Perak sememangnya merupakan antara negeri yang membuat dasar dengan begitu teliti,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran program tersebut di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk S. Thangasvari dan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Rokibah Abdul Talib.

Antara sembilan projek utama yang dicadangkan dalam DRSN Perak 2040 ialah pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Perak di Seri Iskandar, Perak Agrofood (Lembah Makanan Negara) di kawasan jelapang padi Kerian, Sungai Manik dan Seberang Perak serta pembangunan koridor Sungai Perak.

Turut dicadangkan ialah pembinaan Rel Metropolitan Kinta, Pusat Inovasi Negeri Perak, pembangunan pelancongan negeri, Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai, pewartaan taman negeri Geopark Lembah Kinta dan perairan Pulau Sembilan serta kawasan perlindungan penyu Segari.