Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, golongan itu terlibat secara langsung dalam program khas terutama konvensyen sehari yang disertai kira-kira 700 guru dan pelajar.

Menurutnya, kesemua mereka mendapat inspirasi daripada pembentang yang dijemput termasuk angkasawan wanita Amerika Syarikat, Dr. Catherine Cady Coleman.

Selain itu jelasnya, mereka juga terlibat secara aktif menjayakan Perak Festival of Ideas (PFoI) dengan mengetengahkan idea dan visi untuk masa depan generasi akan datang.

“Kita mengambil kesempatan daripada Dialog Pangkor dengan mengumpul kira-kira 700 anak muda, pelajar sekolah dan universiti hadir ke sesi pembentangan tokoh-tokoh terkemuka dunia.

“Kita mahu anak-anak muda ini mendapat inspirasi dan ilham untuk mereka menanam cita-cita menjadi orang yang hebat dan berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Pengetua dan Guru Besar serta pengagihan Tablet Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia Kepada Guru Peringkat Negeri Perak di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pendidikan negeri, Mat Lazim Idris dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Menurut Zambry, Dialog Pangkor memberi impak yang cukup besar di peringkat nasional dan antarabangsa.

Ujarnya, ini diakui sendiri oleh pembentang jemputan yang tidak menyangka Perak mampu menganjurkan satu persidangan bertaraf antarabangsa.

Beliau memberitahu, paling mendapat perhatian adalah penglibatan golongan muda khususnya dalam Dialog Pangkor dan PFoI.