Sejak Februari tahun lalu, itulah rutin Zambry selama lima hari seminggu di setiap daerah yang turut disertai barisan exco, pegawai dan kakitangan agensi, jabatan serta pihak berkuasa tempatan dalam Program Pemukiman Menteri Besar.

Sehingga kini, 10 daerah telah dijejaki mereka antaranya Tai­ping, Larut, Matang, Selama, Hulu Perak, Hilir Perak, Perak Tengah, Bagan Datuk, Kampar dan Batang Padang.

Sepanjang program berlangsung, Zambry dan pasukannya sempat menjamu selera, bersolat, qiamullail, bersukan, beramah mesra, tidur dan tinggal di da­erah-daerah terlibat sambil menyelami permasalahan penduduk termasuk yang tinggal di kawasan pedalaman seperti Orang Asli.

Program bercorak santai sedemikian dilihat mendapat tempat di hati rakyat apabila setiap acara menerima maklum balas amat baik daripada segenap lapisan masyarakat.

“Apa khabar semua? Saya seronok dapat bertemu dan mende­ngar masalah rakyat di sini. Kita akan cuba selesaikan segera masalah-masalah tersebut. Ini tujuan kita ke sini,” sapa Zambry sambil tersenyum lebar setiap kali program berlangsung.

Menurut Zambry, lebih 160,000 penduduk di Perak telah didekati sepanjang penganjuran Program Pemukiman Menteri Besar.

Kata beliau, program yang kini memasuki penganjuran kali ke-10 juga telah melaksanakan lebih 1,000 aktiviti melibatkan rakyat termasuk mendengar pelbagai isu dan masalah mereka.

“Program yang dilaksanakan bukan semata-mata telah diatur awal, tetapi turut melibatkan program yang diadakan pada saat-saat akhir untuk bertemu dengan rakyat,” ujarnya.

Ujarnya, program berkenaan juga bukan sekadar ‘seronok-seronok' semata-mata atau untuk kempen pilihan raya, sebaliknya merupakan pendekatan holistik kerajaan negeri dalam usaha mendekati dan mengenalpasti secara lebih mendalam setiap permasalahan rakyat.

“Setiap daerah mempunyai permasalahan berbeza-beza dan oleh itu, pendekatan yang kita ambil bagi kawasan yang kita pergi juga berbeza.

“Malah sebelum kita turun padang, kita turut mengenalpasti dahulu masalah di situ dan pendekatan terbaik untuk kita ambil apabila tiba di lapangan nanti,” katanya.

Tambah Zambry, setiap aduan dan cadangan daripada rakyat yang diterima kemudiannya akan diambil tindakan segera sama ada diserahkan kepada peringat ne­geri mahupun Persekutuan.

“Saya cukup seronok dengan apa yang sedang saya lakukan ini. Ia seolah-olah menjadikan kita seperti satu keluarga yang semakin membesar dari sehari ke sehari,” katanya.

Sementara itu, penduduk Jalan Pahang di Tapah, P. Kanakambal, 51, berkata, program turun padang tersebut amat ditunggu-tunggu masyarakat India di kampungnya.

“Kadang-kadang rakyat bukan mahu apa, cuma bila ada masalah, ada orang datang tolong.Terima kasih kepada Menteri Besar sebab selalu prihatin masalah kami,” katanya.

V. Mahalingam, 49, dari Tapah Road pula menyifatkan program berkenaan merupakan langkah yang amat bijak dilakukan kerajaan negeri.

“Kita tahu bukan senang pemimpin nak tahu masalah yang dihadapi rakyat terutama kalau tempat itu jauh di pedalaman.

“Jadi ini platform terbaik rakyat dapat bertemu pemimpin secara empat mata. Saya harap program ini akan diteruskan pada masa depan,” katanya.

Zambry sanggup turun padang selami keluhan penduduk