Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, DPNP merupakan kaedah pemantauan bagi memastikan syarat-syarat jualan rumah terutama kuota bumiputera dan rumah kos rendah dipatuhi oleh pemaju.

Menurutnya, dasar baharu itu juga menetapkan pemaju akan didenda atau dikenakan levi dua kali ganda sekiranya menjual lot bumiputera tanpa kelulusan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) atau pihak berkuasa negeri.

“Dasar pemantauan ini dapat membantu bumiputera memiliki rumah manakala levi yang dibayar akan digunakan untuk membantu golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas me­lancarkan Projek Perumahan Mampu Milik di Taman Malim Putra di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri memutuskan untuk mengambil tindakan berani dengan membenarkan pemaju memohon pelepasan kuota rumah bumiputera selepas hartanah itu gagal dijual dalam tempoh enam bulan berbanding tempoh dua tahun sebelum ini.

Katanya, penalti yang dibayar oleh pemaju akan disalurkan kepada LPHP untuk dijadikan dana membina Rumah PerakKu yang menyasarkan membantu lebih ramai golongan B40 membeli rumah.

“Para pemaju juga dibenarkan untuk menghubungi pihak kerajaan negeri bagi mendapatkan pelepasan terus namun pelepasan ini tetap bergantung kepada lokasi projek yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, setakat ini sebanyak 30,000 unit rumah mampu milik telah siap dibina dengan bantuan pemaju swasta.

“Kerajaan negeri menyasarkan pembinaan 50,000 unit rumah seumpama itu sehingga penghujung tahun ini,” katanya.