Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, hal ehwal tanah adalah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN) serta majlis tersebut hanya berperanan memberi nasihat.

Sehubungan itu, tambah Kor Ming, kenyataan yang mengatakan pemberian tanah hak milik kekal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah salah sama sekali.

“Tidak ada tekanan, perkara itu ada dalam manifesto dan seperti yang dikatakan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan semua janji-janji itu.

“Bak kata pepatah, lembu berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji. Justeru, kita akan laksanakan, cuma ia memerlukan masa dan bukan sekelip mata. Kita tak ada ‘lampu Aladdin’ untuk buat sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis jualan amal melibatkan penyertaan lima buah sekolah rendah dan menengah Cina di kawasan Teluk Intan di Sekolah Menengah (SM) Persendirian San Min di sini hari ini.

Ahmad Faizal dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berkata, kerajaan negeri tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Faizal berkata, semakan dengan pihak MTN iaitu Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baru telah memutuskan bahawa tempoh pajakan atau ‘leasehold’ bagi kampung-kampung baru telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

Jelas Ahmad Faizal, mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 juga menetapkan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baru tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun. - UTUSAN ONLINE