Meor Amirul Din Aris, 35, yang mengusahakan pembuatan labu sayong di Kampung Pasir Pandak, Batu 8 Lekir di sini tidak me­nyangka perusahaan labu sayong­nya mendapat perhatian ramai.

Menurutnya, ini kerana labu sayong lebih sinomin di daerah Kuala Kangsar dan ragu-ragu jika perusahaannya di kawasan luar daerah itu tidak mendapat sambutan.

“Saya memang berasal dari Kuala Kangsar dan pernah meng­usahakaan labu sayong ini di sana namun selepas itu saya berpindah ke Manong sebelum tinggal di Kampung Pasir Pandak di sini.

“Apabila tinggal di sini yang juga kampung isteri saya, kami sepakat untuk membuka perusahaan labu sayong di sini dan Alhamdulillah sambutan diterima agak menggalakkan,” katanya.

Menurutnya, perusahaan labu sayong CT Pottery yang berope­rasi sejak dua tahun lalu menerima pelbagai tempahan termasuk pasu hiasan.

Katanya, biasanya tempahan banyak diterima ketika musim kenduri kahwin kerana keluar­ga pengantin menjadikan labu sayong sebagai cenderahati untuk tetamu.

“Terdapat kira-kira 50 jenis bentuk labu yang saya hasilkan antaranya lampu tidur, labu air, teko hiasan, labu comel dan sebagainya.

“Hasil pembuatan saya ini dipasarkan di seluruh negara dan Singapura,” katanya.

Meor Amirul berkata, dia juga mempunyai kepakaran membuat pasu hiasan yang dipelajarinya ketika menjalani kursus di Institut Kraf Negara.

Menurutnya, dia menambah produk jualan dengan menghasilkan pasu hiasan supaya pelanggan mempunyai banyak pilihan.

“Harga jualan produk labu sayong dan pasu hiasan saya ada serendah RM1 hingga RM3,000,” katanya.

Katanya, pembuatan labu sayong agak sukar dan bukan semua orang boleh melakukannya jika tidak mempunyai kepakaran tertentu.

“Ia memang agak sukar jika kita tidak ada serba sedikit ditambah pula memerlukan tahap kesabaran tinggi.

Katanya, industri labu sayong mempunyai permintaan dan potensi tinggi biarpun kerana mempunyai nilai sejarah tersendiri yang diwarisi sejak turun temurun.

“Saya harap ia akan terus berkembang lebih maju satu hari nanti supaya generasi seterusnya dapat mempelajari dan mewarisinya pula,” katanya.