Mangga chokanan yang ber­asal dari Thailand ini mempunyai rasa semanis madu dan setan­ding dengan mangga harum manis dari Perlis.

Mempunyai rasa yang manis, kulit di luar dan dalam yang berwarna kuning serta harum baunya apabila sudah masak pasti membuatkan orang ramai tidak melepaskan peluang jika dihi­dangkan buah mangga ini bersama pulut.

Apatah lagi jika dihidangkan dengan chokanan segar yang baru dipetik dari ladang dan keenakan buah itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Tanah negeri Perak memang cukup subur dan sesuai untuk penanaman mangga sekali gus boleh menjadikan mangga chokanan sebagai satu tanaman ko­mersial yang mampu memberikan pulangan lumayan kepada para pengusahanya.

Terletak di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dekat Lekir, mangga chokanan antara produk utama yang giat diusahakan selain daripada penanaman pelbagai buahan dan sayuran.

Seorang pengusaha, Zulkifli Zakaria, 42 berkata, penanaman mangga ini merupakan satu cabang pendapatan selain minat dalam bidang pertanian.

Zulkifli merupakan peserta Jabatan Pertanian Negeri Perak menerusi Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang mengusahakan tanaman mangga chokanan di Ladang Mangga Chokanan Pusat Latihan Pertanian Lekir, Batu 9, Lekir, Sitiawan.

Katanya, sehingga kini dia memiliki ladang seluas lima hektar dan sebanyak 1,200 pokok sudah mengeluarkan hasil selepas dua awtau tiga tahun ditanam.

Menurutnya, Lekir adalah kawasan tanah gambut berpasir dan cuacanya sesuai untuk tanaman itu hidup subur dan mengeluarkan hasil.

“Tanaman ini memerlukan cuaca panas, namun jika terlalu panas bunga dan buah boleh gugur.

“Pokok perlu sentiasa dipangkas mengikut waktu ditetapkan terutama selepas tamat musim buah supaya tidak terlalu tinggi dan dapat menghasilkan buah yang banyak,” katanya.

Zulkifli berkata, hasil boleh di­tuai dua kali setahun dalam tempoh yang agak panjang iaitu daripada bulan Mac hingga Julai dan Oktober hingga Februari.

“Pada setiap musim, penge­luaran boleh mencecah 20 hingga 30 metrik tan,” katanya.

Katanya, setiap pokok boleh mengeluarkan sehingga 30 hingga 40 kilogram.

Zulkifli memasarkan mang­ganya di beberapa negeri dengan bantuan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) selain menjual sendiri.

“Permintaan terhadap mangga chokanan ini semakin tinggi. Selain Perak, saya turut memasarkan mangga ke negeri Selangor.

“Harga mangga chokanan ini bermula RM5 hingga RM6 sekilogram sahaja,” jelasnya.

Katanya, dia berharap dapat mempelbagaikan lagi produk da­ripada mangga chokanan ini se­perti jus, kerepek dan sebagainya.