Dia yang berusia 51 tahun berkata, pada masa itu, tiada sesiapa pun yang menjual layang-layang di kawasan yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah dan berjoging.

Mohd. Akhir menjelaskan, kegiatan itu dimulakan secara kecil-kecilan terlebih dahulu bagi membolehkannya mengkaji sambutan orang ramai terlebih dahulu.

“Saya menjual layang-layang jenis sederhana besar dengan harga RM10 seunit manakala la­yang-layang besar RM50 seunit.

“Secara purata, saya dapat menjual layang layang ini antara lima hingga 10 unit sehari,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd. Akhir berniaga mulai pukul 5 petang hingga 8 malam dan sebahagian besar layang-layang yang dijualnya memaparkan watak-watak kartun animasi kanak-kanak seperti Upin & Ipin, Angry Birds, Spiderman, Donald Duck, Batman dan Mickey Mouse.

Pada hujung minggu, Mohd. Akhir akan melanjutkan masa perniagaannya sehingga pukul 11 malam berikutan terdapat permintaan memberangsangkan daripada orang ramai.

Malah, dia yang menetap di Tapah mengakui sanggup berulang-alik ke sini pada sebelah petang setelah pulang dari bekerja semata-mata untuk mengusahakan perniagaannya.

Mohd. Akhir berkata, bekalan layang-layang yang diperolehinya dari Kuala Lumpur dan Seremban itu turut dibeli oleh pelanggan pelbagai kaum walaupun permainan itu merupakan salah warisan tradisional orang Melayu.

“Sokongan orang ramai ini melonjakkan semangat saya untuk menambah jumlah layang-layang yang dijual dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, seorang peng­gemar layang-layang, Ku Rina Liza Ku Mansor, 34, berkata, dia membeli layang-layang untuk me­menuhi hobinya di padang berkenaan.

“Bermain layang-layang ini bukan sahaja menjadi hobi ke­gemaran saya sejak kecil, malah ia sebenarnya menguji kecekapan pemain untuk mengendalikannya supaya ia boleh terbang tinggi,” katanya.

Seorang lagi peminat layang-layang, Low Boon Khoon, 48, berkata, dia yang bekerja di Kuala Lumpur akan pulang ke Teluk Intan setiap minggu untuk membawa anak-anaknya bermain la­yang-layang di sini.

“Saya lihat anak-anak saya sangat seronok dan selalu mengajak saya balik kampung untuk bermain layang-layang di sini. Saya pun menyukainya kerana ia dapat merehatkan minda selepas penat bekerja,” katanya.