Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, nama yang dicadangkan oleh pimpinan PKR pusat itu kemudian akan diberikan kepadanya untuk dibuat pertimbangan.

Bagaimanapun katanya, beliau sentiasa terbuka dalam mendengar apa juga cadangan yang diberikan semua pihak.

“Kalau pun ada cadangan-cadangan (pertukaran Exco), tentunya ia akan dibawa dalam perbincangan Majlis Pakatan Harapan. Jika ada perubahan yang hendak dibuat, mereka boleh cadangkan dan saya akan pertimbangkan nama yang diberikan oleh pucuk pimpinan PKR sendiri.

“Semasa saya bertanding dalam Pakatan Harapan menggunakan logo PKR, saya juga menerima watikah daripada Presiden PKR. Jadi, untuk memilih calon dan pertimbangkan nama untuk dipersembahkan kepada baginda sultan, ia perlu melalui pucuk pimpinan parti dan bukannya pemimpin negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Townhall Maqasid Syariah yang dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

PKR Perak baru-baru ini mengakui telah mengadakan perbincangan bagi pertukaran seorang Exco kerajaan negeri daripada parti itu.

Exco berkenaan dikatakan bukan sahaja dikatakan menunjukkan prestasi kurang memuaskan malah didakwa mengabaikan tanggungjawab kepada parti. - UTUSAN ONLINE