Terletak di kawasan seluas 3.2 hektar di Simpang Empat Balai Polis Labu Kubong, kedudukannya agak strategik apabila mudah diakses kerana berada di tepi jalan raya.

Dengan penganjuran perlumbaan motorcross yang dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin sejak tujuh tahun lalu, kini litar ber­kenaan menjadi tumpuan umum.

Zainol Fadzi yang juga Penaung Kelab Labu Kubong Motorcross berkata, inisiatif yang dimulakan sejak tahun 2008 itu mendapat sambutan menggalakkan, justeru diteruskan sebagai acara tahunan.

Baru-baru ini, bersempena Tahun Melawat Perak 2017, penganjuran perlumbaan motorcross itu kembali lagi menerusi penganjuran Labu Kubong International Challenge 2017.

Kejohanan tersebut yang di­rasmikan oleh Zainol Fadzi selaku Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, telah mempertandingkan beberapa kategori.

Kategori berkenaan meliputi peringkat international, expert, novice, novice 30-39, veteran 40, junior cubcross open, kadet, endurance open dan CKD endurance.

“Dalam tempoh tujuh tahun ini, kita telah berjaya menarik penyertaan penunggang antarabangsa untuk bertanding Litar Motocross Labu Kubong selain jaguh-jaguh tempatan termasuk dari Kedah, Johor dan Terengganu.

“Litar ini mempunyai keunikan dari segi selekoh selain bentuk muka bumi­nya yang berbukit tinggi, justeru memberikan kepuasan kepada para pelumba,” katanya.

Sementara itu, seorang pelumba, Muhamad Habibullah Mohd. Salleh, 26, dari Sungai Buaya, Rawang, Selangor yang muncul johan bagi kategori endurance open, mengakui berpuas hati dengan penganjuran perlumbaan tersebut.

“Trek Motocross Labu Kubong mempunyai ciri-ciri litar yang sangat disukai oleh pelumba. Lagipun, sememangnya mudah untuk datang ke sini,” katanya.