Ketua Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed berkata, pada masa sama, kaum lelaki seharus­nya memberi insentif serta sistem sokongan dan kepercayaan kepada wanita bagi menjadikan mereka lebih berani untuk menonjolkan keupayaan sendiri.

“Dalam kita bergerak ke arah usaha pengupayaan wanita, kita melihat kepada dua aspek iaitu sasaran 30 peratus keterlibatan wanita terlibat sebagai pembuat dasar mengoptimumkan 55 peratus guna tenaga wanita.

“Kita bukan hendak mendominasi kaum lelaki tetapi kita mahu hak kita juga diiktiraf. Oleh itu, perlu ada kekuatan pada wanita untuk mengangkat diri mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Analisis Suara Perak bertajuk ‘Pengupayaan Wanita di Perak’ di Home of Silveryouth, Kinta Riverfront di sini semalam.

Program itu turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Suara Perak.

Sementara itu, Ketua Srikandi PKR, Siti Aisyah Shaik Ismail yang juga ahli panel program tersebut berkata, satu mekanisme baharu diperlukan dalam dasar kerajaan untuk mengupayakan wanita berasaskan konteks kebajikan de­ngan menjangkaui batasan politik.

Beliau memberitahu, langkah tersebut penting bagi mengelakkan wanita daripada terus dipinggirkan sekali gus memastikan diskriminasi gender tidak berlaku.

“Kita tidak mahu yang membataskan kepercayaan dan kebolehan wanita untuk memimpin adalah sifat kesantunan dan lemah lembutnya,” jelasnya.