Bilangan itu merangkumi 326 rumah kos rendah, 66 rumah kos sederhana dan 1,292 perumahan mampu milik di beberapa mukim di negeri ini.

Sebanyak 338 rumah akan didirikan di Temoh Stesen dalam Mukim Chenderiang melibatkan projek SSI dengan pemaju LBS Bina Group Berhad.

Sementara itu, tiga lagi lokasi adalah melibatkan skim perumahan Rumah PerakKu iaitu 447 unit di Kampung Serdang, Manjung (syarikat pemaju King Ong Development Sdn. Bhd.), 301 unit di Tanjung Tualang (syarikat pemaju Tract Evo Sdn. Bhd.) dan 598 unit di Tanah Hitam, Kinta (syarikat pemaju Mimbar Nusantara Homes Sdn. Bhd.).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebanyak 50,000 Rumah PerakKu disasarkan untuk dibina dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, bagi merea­lisasi hasrat tersebut, kerajaan negeri mengenal pasti beberapa lokasi serta tanah bersesuaian termasuk kawasan yang dihuni ramai golongan berpendapatan rendah (B40) untuk didirikan rumah berkenaan terutamanya di Lembah Kinta, daerah Manjung, Kerian dan Muallim.

“Pada masa sama, saya juga berharap agensi kerajaan lain seperti SSI, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) turut membantu menyediakan rumah tersebut.

“Perjanjian persefahaman pada hari ini bakal menyaksikan hampir 2,000 unit kediaman dijangka siap dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang. Selain itu, terdapat banyak skim perumahan yang dirancang, dilaksanakan dan ia dianggarkan hampir 10,000 unit pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman yang mewakili SSI dan LPHP bersama pemaju hartanah berkenaan di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.