Mungkin itu perumpa­maan yang paling sesuai bagi menggambarkan semangat Rejimen 503 Askar Wataniah dari Markas Batalion Ketiga, Teluk Intan yang berkampung di Kampung Bukit Chawi dalam Mukim Kampung Gajah baru-baru ini.

Program Gotong-royong Perdana yang dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Salak serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) itu turut disertai oleh beberapa agensi kerajaan selain penduduk kampung sendiri.

Ketua program tersebut, Mohamad Maharani Md. Tasi me­rangkap Ketua Cabang PKR Pasir Salak berkata, operasi pembersihan kawasan persekitaran termasuk kediaman itu antara lain turut bertujuan menarik pengambilan kemasukan anggota sukarelawan menyertai askar wataniah pada tahun ini.

“Gotong-royong ini agak meriah kerana sukarelawan askar wataniah juga mengadakan kenduri serta menyembelih seekor lembu yang dimasak bersama-sama penduduk kampung sekali gus merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

“Antara kawasan yang diber­sihkan termasuklah parit, longkang serta padang yang dipenuhi dengan semak samun bagi mengelakkannya daripada te­rus menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Program yang berlangsung selama sehari tersebut, turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti membakar lemang serta memasak gulai bersama penduduk kampung selain pameran kraftangan serta pakaian seragam askar wataniah.

Sementara itu, Pegawai Memerintah Rejimen 503 Askar Wataniah dari Markas Batalion Ketiga Teluk Intan, Lt. Kol. S. Thamodaran berkata, pihaknya berbesar hati dapat turun padang membantu masyarakat kampung bagi menjayakan program berkenaan.

“Askar wataniah bukan sahaja merupakan salah satu pasukan dalam Angkatan Sukarelawan Persekutuan yang diletakkan di bawah pentadbiran briged setempat, malah ia berfungsi sebagai pasukan simpanan tentera darat selain mempunyai peranan serta tugasan tersendiri,” katanya.