Malah, pertengkaran mulut antara wanita terbabit dan mangsa menyebabkan suspek turut bertindak memecahkan cermin hadapan kereta jenis Toyota Hilux milik seorang lelaki berusia 40 tahun itu dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Rozeni Ismail berkata, kejadian itu berlaku selepas mangsa menghalau dua ekor anjing milik suspek yang berada di hadapan pagar rumahnya.

Katanya, suspek yang melihat kejadian itu bagaimanapun marah terhadap mangsa sehingga berlaku pertengkaran mulut dan menyerang lelaki berkenaan menggunakan penyodok longkang.

“Semasa pertengkaran mulut berlaku, suspek telah mengambil sebatang penyodok longkang yang berada di hadapan rumahnya dan menyerang mangsa.

“Mangsa cuba menyelamatkan diri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux namun wanita terbabit telah bertindak memecahkan cermin di bahagian penumpang hadapan kenderaan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, akibat serangan itu, mangsa mengalami lebam di bahagian lengan kanan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput.

Katanya, suspek telah ditangkap pada pada pukul 3 petang hari yang sama dan barang kes iaitu sebatang penyodok longkang juga telah dirampas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata. Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil,” katanya. - UTUSAN ONLINE