Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, jumlah takungan air di beberapa empangan di bawah kawalan Lembaga Air Perak (LAP) juga merekodkan bacaan pada paras normal.

“Empangan Sultan Azlan Shah misalnya merekodkan bacaan pada paras 241.21 meter dengan kapasiti takungan sebanyak 85 peratus manakala paras Empangan Air Kuning pula berada pada paras hampir maksimum iaitu 42.50 meter.

“Buat masa ini, operasi bekalan air di negeri ini tetap berjalan seperti biasa dengan pengeluaran air turut berada pada tahap normal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2019 peringkat negeri di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurut beliau, walaupun bekalan air di negeri ini tidak terjejas dan mencukupi, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah dengan tidak melakukan pembaziran.

Katanya, jika terdapat sebarang masalah kebocoran paip, mereka juga diminta agar melaporkan kepada LAP untuk tindakan segera.

“Kerjasama orang ramai diperlukan untuk melaporkan kejadian paip bocor di talian bebas tol LAP 1-800-88-7788,” katanya. - UTUSAN ONLINE