Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bekalan air bersih kepada penduduk akan dihantar oleh Lembaga Air Perak (LAP) iaitu sebanyak enam lori tangki.

Katanya, kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat bersama Pengurus Besar LAP, Datuk Mohd. Yusof Mohd Isa supaya proses penghantaran air dilakukan secepat mungkin.

“Jika jumlah lori tangki air yang dihantar tidak mencukupi, jumlah tersebut akan ditambah bagi memberikan perkhidmatan yang baik kepada penduduk.

“Namun jumlah itu sebenarnya memadai dan kita mahu mengingatkan rakyat supaya dapat berjimat cermat ketika menggunakannya kerana nilai air sangat berharga.

“Ini yang saya mahu sampaikan bukan kepada penduduk di sana (Kampung Air Ganda) semata-mata tetapi kepada seluruh negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pecah tanah pembinaan Sekolah Tahfiz Darul Ridzuan di Sungai Manik di sini hari ini.

Semalam, LAP mengumumkan telah memberhentikan operasi di LRA Ayer Ganda di Gerik pada 9 April lalu selepas diarahkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ini ekoran ujian sampel air di LRA Ayer Ganda menunjukkan paras arsenik yang rendah dan di bawah piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu jurang dariapda 0.01 miligram untuk setiap liter.

Sementara itu, Ahmad Faizal menafikan spekulasi beliau tidak melawat kawasan yang terjejas akibat pencemaran air di sebatang sungai di Gerik.

“Malah kerajaan negeri mengambil langkah proaktif terhadap kes berkenaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE