MOHAMAD FARIZ MOHAMAD HANIP
MOHAMAD FARIZ MOHAMAD HANIP

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, perkhidmatan itu adalah untuk memudahkan jaringan perhubungan masyarakat khususnya di kawasan Seri Manjung.

“Pendekatan ini bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai perkhidmatan yang diberikan sebelum dikenakan bayaran awal April ini.

“Kadar bayaran tambang yang dikenakan kelak juga tidak akan membebankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat di Pejabat Majlis Perbandaran Manjung, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, perkhidmatan bas Rapid Manjung itu disediakan pihak Berkuasa Pelaksanaan Wilayah Koridor Utara (NCIA).

Beliau berkata, waktu operasi bas bermula pukul 6 pagi hingga pukul 10 malam setiap hari dengan kekerapan laluan 45 minit dan jumlah bas yang disediakan ialah 10 unit.

“Perkhidmatan ini tertumpu di kawasan bandar melibatkan dua laluan iaitu Seri Manjung ke Pangkalan TLDM dan Laluan Dalam Bandar atau Manjung City Loop secara serentak dua hala.

“Perkhidmatan bas percuma ini juga akan melalui laluan utama merangkumi kawasan penting seperti hospital, sekolah, pusat pengajian, terminal Jeti, masjid dan pusat beli-belah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Fariz berkata, sebanyak 12 aduan mengenai kerosakan jalan dan longkang disalurkan kepada MPM menerusi Sistem Pengurusan Aduan Bergambar menggunakan telefon pintar atau IKepoh sejak 1 Januari lalu.

“Saya menggalakkan masya­rakat menggunakan saluran IKepoh untuk mengemukakan aduan kerana lebih mudah dan pantas termasuk dalam mendapatkan maklum balas dan tindakan,” ­katanya.