Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkhidmatan bas itu melibatkan sebuah bas separuh bumbung dan dua buah bas berbumbung penuh pada tiga bulan pertama yang akan beroperasi dari pukul 8.30 pagi sehingga 9 malam.

AHMAD FAIZAL AZUMU
AHMAD FAIZAL AZUMU

Menurutnya, setiap satu bas mengambil masa lebih kurang setengah jam perjalanan di sekitar bandaraya ini.

“Antara stesen yang terlibat adalah Terminal Amanjaya, Movie Animation Park Studios (MAPS), Mahkamah Tinggi Ipoh, Little India, Ipoh Old Town, Telekom Malaysia, Jalan Brewster, Hotel Weil dan pusat beli belah Ipoh Parade, Gerbang Malam, Octagon, The Majestic dan Masjid Panglima Kinta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Tourism Perak dan Perak Transit bagi perkhidmatan bas Hop On Hop Off Perak di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md. Talib dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi.

Menurut Ahmad Faizal, perkhidmatan bas Hop On Hop Off menempatkan seorang pemandu pelancong yang diberi latihan sepenuhnya bagi memberikan maklumat mengenai produk-produk yang terdapat di kawasan dilalui.

Beliau berkata, secara tidak langsung, usaha itu dapat mendekatkan para pelancong dengan pengusaha-pengusaha di sekitar bandar raya Ipoh.

“Perkhidmatan ini juga menggalakkan penyertaan pi­hak swasta terutamanya yang terlibat secara langsung di dalam industri untuk menaja perkhidmatan ini supaya dapat berterusan dan dikembangkan dengan konsep industri kepada industri,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, bayaran dikenakan sepanjang tempoh promosi yang berlanjutan sehingga penghujung April dan sah sehingga 31 Desember 2019.

Katanya, tiket promosi bagi pelancong domestik adalah berharga RM12 bagi dewasa dan RM10 (kanak-kanak) manakala pelancong antarabangsa pula dikenakan kadar RM35 bagi dewasa dan RM20 (kanak-kanak).

“Harga sebenar dikenakan selepas tamat promosi kepada peme­gang MyKad adalah RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak manakala harga kepada bukan pemegang MyKad adalah sebanyak RM55 bagi dewasa dan kanak-kanak RM20,” katanya.