Penolong Pegawai Daerah Manjung, Firdaus Azmir Md. Nor berkata, bantuan pascabanjir ter­sebut penting untuk meringankan bebanan yang ditanggung mangsa terlibat dalam bencana itu baru-baru ini.

“Kita membantu membersihkan sebanyak 35 rumah antaranya milik golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan rumah keluarga terjejas teruk akibat banjir.

“Selain itu, kita juga membe­r­­sihkan dua pusat pemindahan sementara iaitu Sungai Batu dan Tebuk Yan. Kerja-kerja pembe­rsihan turut dijalankan di masjid, surau serta dewan,” katanya ketika ditemui di Kampung Nelayan, di sini semalam.

Katanya, antara agensi terlibat termasuklah Majlis Perbandaran Manjung, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Darat Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad Jana Manjung.

Selain itu, kata Firdaus Azmir, Pejabat Kesihatan Daerah Manjung, Angkatan Pertahanan Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Balai Bomba dan Penyelamat dan Pe­jabat Daerah Manjung.

“Kerja-kerja pembersihan ini bermula pada pukul 9 pagi dan mengambil masa empat jam untuk siap sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, seorang mang­sa banjir, Kamariah Ahmad, 36, berkata, dia berterima kasih kepada pihak yang bertungkus-lumus membersihkan rumahnya di Kampung Nelayan.

“Banjir pada kali ini teruk berbanding tahun lalu dan keadaan rumah berlumpur selepas banjir surut.

“Saya tidak larat untuk membersihkan rumah dan kami amat memerlukan bantuan sebegini. Alhamdulillah, masih ada pihak prihatin membantu kami,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Salmiah Mat Desa, 64, berkata, dia bersama anak hanya mencuci di beberapa tempat sahaja di dalam rumahnya berikutan tidak berkeupayaan untuk menjalankan kerja pembersihan di kesemua bahagian rumah.

“Banyak perabot rosak, namun saya bersyukur ada pihak yang membantu membersih dan meringankan bebanan kami,” katanya.