Ketua Kampung Pekan Trolak, Zainal Abidin Abdul Rahman berkata, pihaknya pernah mengemukakan pelan kepada Menteri Besar berhubung penempatan baharu penduduk di kawasan berkenaan yang terjejas akibat banjir tetapi sehingga kini masih tiada tindakan diambil.

Katanya, penempatan baharu itu membabitkan pembinaan kawasan perumahan di atas tanah milik Sime Darby dan dipercayai selamat daripada ancaman banjir kilat.

“Kami berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan perkara ini. Pelan sudah ada, Pejabat Daerah juga bersetuju, tetapi Sime Darby menolak permohonan itu.

“Sekiranya pelan pembinaan kawasan perumahan itu dapat dilaksana, bukan hanya masalah penduduk kampung yang terjejas akibat banjir dapat diselesaikan, tetapi pada masa sama menghidupkan semula pekan `koboi' ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Pekan Trolak, dekat sini hari ini.

Semalam, Kampung Pekan Trolak dilanda banjir kilat selepas hujan lebat tanpa henti sejak pukul 4 petang menyebabkan paras air Sungai Trolak dan Sungai Rambai meningkat mendadak.

Ekoran itu, sebanyak 35 rumah membabitkan 132 penduduk terjejas akibat bencana berkenaan.

Dalam pada itu, pembantu pe­rawatan kesihatan Klinik Slim River, Noorraizan Ishak, 45, memberitahu, banjir yang berlaku kali ini merupakan terburuk sejak 2011.

Dia yang baru sahaja berpindah ke rumah baharu di kampung ber­kenaan berkata, sebelum ini banjir hanya melanda pekan sahaja tetapi kali ini kawasan terjejas semakin luas.

“Saya tiada di rumah ketika kejadian dan hanya tahu apabila dihubungi bapa. Saya baru sahaja menduduki rumah ini sejak sebulan lalu, tidak sangka pula dilanda banjir kerana sebelum itu kawasan ini tidak pernah dinaiki air,” jelas­nya.

Ahli Parlimen Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan ketika ditemui semasa melawat kampung berkenaan menjelaskan bahawa dua pelan telah dirangka bagi mengatasi masalah itu secara jangka panjang dan pendek.

“Pelan jangka panjangnya ialah membina kawasan penempatan baharu di kawasan tinggi kepada penduduk terjejas manakala jangka pendek pula ialah mendalamkan sungai,” ujar beliau.