Bangkai mamalia itu ditemukan pada pukul 3 petang oleh pasukan Jabatan Perikanan Daerah Manjung setelah mendapat maklumat daripada orang awam.

Ketua Daerah Perikanan, Rosdi Nazri Mat Din berkata, anak ikan lumba-lumba atau porpoise ampu seberat kira-kira lima kilogram itu dipercayai sudah mati sejak seminggu lalu.

“Kita tidak dapat mengenal pasti jantina anak ikan lumba-lumba itu berikutan keadaannya.

“Nelayan atau orang awam yang menemui kes seumpama ini diminta terus melaporkan kepada kami untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang pemancing yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 45, berkata, dia menemukan bangkai ikan lumba-lumba itu ketika mahu memancing di pesisiran laut di Marina Island pada Khamis lalu.

Menurutnya, pada awalnya dia tidak mempedulikan penemuan itu kerana tidak pasti sama ada ia ikan lumba-lumba atau ikan lain.

“Keesokannya saya datang lagi memancing di sini dan melihat bangkai berkenaan sudah hanyut ke pesisiran pantai lalu saya mengambil gambar bangkai ikan berkenaan,” katanya.

Menurut Lau, bangkai ikan itu berukuran kira-kira tiga meter dengan organ dalamannya sudah terkeluar dan cedera di bahagian ekor.-UTUSAN ONLINE