HASNAN HASSAN

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, kebanyakan daripada 122 balai polis terdapat di seluruh negeri sudah berusia melebihi 25 tahun, malah ada mencecah lebih 100 tahun.

“Enam balai berusia 75 tahun ke atas, 10 balai lingkungan 50 ke 75 tahun, 70 balai lingkungan 25 ke 50 tahun dan selebihnya kurang 25 tahun di samping kita ada balai berusia 114 tahun.

“Balai Polis Ipoh sudah 114 tahun, Balai Polis Tronoh Mines, Kampar masih berasaskan lokap kayu dan pejabat pun kayu, Balai Polis Pasir Hitam, Taiping setiap hari banjir akibat air pasang besar kita sentiasa membaiki tapi masalah tidak selesai begitu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meraikan 438 pegawai kanan, pegawai rendah polis dan pegawai awam PDRM Perak yang telah dan akan bersara tahun ini di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini, hari ini.

Hasnan berkata, suasana tempat tinggal dan bekerja yang selesa turut mempengaruhi semangat anggota keselamatan itu ketika bertugas seterusnya memastikan penugasan bertambah baik.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jumlah persaraan anggota dan pegawai di Perak antara yang tertinggi setakat ini.

Katanya pada 2017, sebanyak 511 pegawai dan anggota bersara dengan lebih 100 daripadanya bersara wajib, manakala baki kira-kira 64 peratus bersara pilihan (awal), sementara untuk tempoh Januari hingga November tahun ini, 439 bersara.

“Kebanyakan alasan diberikan mereka bersara pilihan adalah mengharapkan pendapatan yang lebih sebagai orang awam dan kedua, mengatakan menghadapi tekanan dalam bekerja,” katanya.

Sambil melahirkan kebimbangan terhadap trend tersebut, Hasnan berharap agar kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk mengatasi perkara itu. – BERNAMA