Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri tidak menipu atau mahu mengelirukan rakyat dalam pembentangan bajet negeri.

Menurutnya, fakta sahih yang dibentangkan dalam bajet kali ini telah membuatkan wakil rakyat pembangkang resah sehingga memberi respon negatif dan sarat dengan kata-kata penipuan.

Katanya, antara pembohongan pembangkang termasuk mendakwa bajet negeri mengalami defisit tujuh tahun berturut-turut termasuk pada tahun 2017 selain kemerosotan rizab negeri dan tiada pertambahan dalam hasil negeri.

“Mereka mendakwa tiada pertambahan hasil negeri sedangkan rekod mencatatkan pertambahan hasil daripada RM700 juta pada 2010 dan meningkat kepada RM1.011 bilion pada tahun lalu.

“Kerajaan negeri mencatatkan hasil melebihi 100 peratus selama lima tahun iaitu pada tahun 2010 (118.9 peratus), 2011 (104.57 peratus), 2013 (102.72 peratus), 2014 (100.7 peratus) dan tahun lalu (101.19 peratus),” katanya dalam sidang akhbar pada Persidangan DUN Perak di sini.

Zambry berkata, pembangkang juga cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa Bajet 2017 adalah defisit sedangkan laporan kewa­ngan 2017 belum tamat dan hanya siap apabila berakhir tahun ini.

“Walaupun kerajaan negeri membentangkan bajet defisit tetapi penyata kewangan sebenar setiap tahun merekodkan lebihan atau surplus,” katanya.

Menurutnya, tuduhan bahawa rizab negeri tidak bertambah juga tidak benar.

“Angka sebenar menunjukkan rizab Perak termasuk tunai sehingga 21 November ini adalah RM1.1 bilion berbanding RM951 juta tahun lalu,” katanya.