Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Mohamad Daud Mohd. Yusoff berkata, idea untuk menghargai kecemerlangan anak-anak Perak secara menyeluruh itu merupakan cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Beliau berkata, penerima anugerah tersebut merupakan pemenang-pemenang bagi program Hu­ffaz Yayasan Perak yang telah berlangsung di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) pada 9 November lalu.

“Majlis kecemerlangan pada hari ini berjaya kita adakan de­ngan kerjasama erat Jabatan Pendidikan Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Kita lihat mereka semua gembira (penerima anugerah) kerana merasakan pelajar-pelajar di maahad tahfiz, turut dihargai oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengha­diri majlis berkenaan yang melibatkan keseluruhan 91 orang penerima di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Mat Lazim Idris dan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin.

Antara penerima Anugerah Huffaz bagi hafazan al-Quran untuk 30 juzuk ialah Hibban Mohd. Fadhali (Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar Manjung), Muha­mad Arasy Rabbani Fadzil (Pusat Pendidikan Al-Barakah Ipoh) dan Muhammad Dzulfaqor Mohd. Zaine (Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin 7 Tambun).

Bagi kategori sama untuk perempuan pula dimenangi oleh Siti Sarah Muhamad Hanif dari Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah Ipoh, Aisyah Mohd. Hadi Munir (Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar Manjung) dan Siri Roslina Rusli (Maahad Abd. Fatah Wa Abd. Jalil Tahfuizul Quran Lilbanat Rungkup).

Anugerah Khas Hafazan al-Quran turut diberikan kepada Siti Sarah.

Sementara itu, Zambry ketika berucap pada majlis tersebut berkata, berdasarkan kajian, pelajar tahfiz bukan sahaja mampu membina kekuatan memori, malah memiliki kemahiran kognitif lebih tinggi.

“Dalam hal ini, ia sejajar de­ngan hasrat kita untuk melahirkan keseimbangan bukan sahaja dalam bidang akademik semata-mata, tetapi juga berkaitan de­ngan akhirat,” katanya.