Menurut pekebun, masalah itu sudah berlaku sejak sekian lama namun ancaman haiwan liar itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Selain merosakkan kelapa ma­tag, haiwan liar itu turut me­rosakkan tanaman lain seperti pokok pisang dan koko.

Seorang pengusaha tanaman kelapa matag, Mamor Marsom, 65, berkata, ancaman kera liar semakin serius dan banyak pokok kelapa yang ditanamnya rosak, layu apabila daunnya dipatah-patahkan oleh haiwan liar tersebut.

Katanya, ancaman kera liar semakin serius sehingga menyebabkan pokok kelapanya mati dan pembesarannya terbantut kerana pucuknya dirosakkan oleh kera liar.

“Kalau pokok dapat hidup pun buahnya tidak banyak berbanding jika tanaman ini tidak dirosakkan,” katanya ketika ditemui di kebun kelapa matag dan koko miliknya di Kampung Su­ngai Batang, di sini kelmarin.

Menurut Mamor, masalah ter­sebut sudah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) namun dia hanya diberikan perangkap kera untuk mengatasi masalah tersebut.

Katanya, perangkap yang diberikan itu bukan jalan penyelesaian terbaik kerana tidak semua kera liar akan masuk perangkap.

Mamor berkata, pekebun pernah bertindak menghapuskan haiwan berkenaan dengan cara menembaknya namun haiwan berkenaan kembali merosakkan tanaman mereka.

“Saya berharap masalah ini dapat diatasi segera supaya kami tidak terus menanggung kerugian,” katanya.