Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, kerjasama suri rumah sepenuh masa de­ngan pihak polis melalui skuad Amanita bertujuan mewujudkan tahap keselamatan dan pe­ningkatan kualiti hidup berma­syarakat.

Sehubungan itu, katanya, pe­­patah ‘jangan jaga tepi kain orang’ sudah tidak relevan pada masa kini memandangkan masyarakat perlu saling ambil tahu keadaan sekeliling mereka.

Katanya, ini bertujuan agar masyarakat dapat hidup bebas daripada segala bentuk ancaman jenayah.

“Pencegahan aktiviti jenayah seperti pecah rumah, kecurian, ragut dan sebagainya yang kerap berlaku di kawasan perumahan bukan lagi tanggungjawab penguat kuasa atau polis semata-mata.

“Masyarakat juga turut meng­galas tanggungjawab seru­pa dan dalam hal ini golongan suri rumah sepenuh masa diminta turut sama memainkan peranan dan peka memandangkan mereka sentiasa berada di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Taman Angkat Amanita Kontinjen Perak 2017 di sini baru-baru ini.

Program itu melibatkan penyertaan 10 Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) yang ke­seluruhannya mewakili 80 ka­wasan perumahan dalam Parlimen Sungai Siput.

Yang turut hadir, Ketua Ja­batan Siasatan Jenayah (JSJ) Pe­rak, Datuk Gan Tian Kee; Ke­tua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti ne­geri, Senior Asisten Komisioner T. Selvan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Dzolkafly Harun.

Menurut Hasnan, menerusi Amanita, seorang anggota polis berpangkat Sarjan ditempatkan di setiap zon sebagai pegawai perhubungan.

Beliau berkata, anggota polis berkenaan berperanan sebagai rujukan utama bagi kaum wa­nita yang ingin membuat aduan terhadap sebarang permasalahan dan penyaluran maklumat berkenaan dengan aktiviti jena­yah bagi keseluruhan 10 zon yang terlibat.

Katanya, polis menyedari kebanyakan suri rumah berasa malu selain ketiadaan masa untuk tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran, justeru hubungan yang terjalin dengan anggota polis Amanita akan memudahkan aduan dibuat.

“Pendekatan ini dapat men­cegah penularan aktiviti tidak sihat yang akhirnya menjurus kepada kegiatan jenayah seperti masalah sosial anak-anak muda yang berpeleseran.

“Maklumat yang disalurkan melalui Amanita akan memudahkan pemantauan dilakukan daripada awal,” katanya.