Pengarah Pendidikan negeri, Mat Lazim Idris berkata, namun jumlah tersebut memperlihatkan penurunan seramai 183 pelajar berbanding tahun sebelumnya iaitu 890 pelajar.

“Sebilangan besar calon yang memperoleh keputusan cemerlang ini terdiri dalam kalangan mereka yang mengambil sembilan dan sepuluh mata pelajaran.

“Daripada semua calon yang cemerlang ini, lima calon telah mengambil lapan mata pelajaran, 275 calon (9), 306 calon (10), 109 calon (11) dan 12 calon (12),” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2016 di Bilik Seri Budi, Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.

Menurut Mat Lazim, dari segi Indeks Gred Purata Negeri (GPN) pula menunjukkan peningkatan 0.05 mata iaitu 5.17 mata bagi SPM tahun lalu berbanding 5.22 mata pada tahun sebelumnya.

Katanya, jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar pula menurun sebanyak 0.01 mata GPN iaitu 0.32 pada tahun lalu berbanding 0.33 mata pada tahun 2015.

“Pencapaian calon di bandar berlaku peningkatan sebanyak 0.11 mata GPN iaitu 5.08 pada tahun 2016 berbanding 5.19 mata bagi tahun 2015. Peningkatan sama direkodkan calon di luar bandar dengan 0.12 mata GPN iaitu 5.40 mata pada tahun tahu berbanding 5.52 untuk tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan berlakunya peningkatan pencapaian calon bagi kedua-dua lokasi sama ada di bandar dan di luar bandar,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), sebanyak 40 daripada 59 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi termasuk mata pelajaran teras seperti Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sains.

Katanya, peratus calon yang layak mendapat sijil juga mening­kat sebanyak 0.22 peratus melibatkan 27,108 atau 83.39 calon SPM pada tahun lalu.

“Lima sekolah cemerlang bagi kategori sekolah berasrama penuh (SBP) di negeri ini ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Menengah (SM) Sains Tapah, SBP Integrasi Gopeng dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Tun Azlan Shah di Taiping,

“Bagi sekolah harian pula, lima sekolah yang cemerlang ialah SMK Convent Taiping; SMK Ave Maria Convent, SMK Gunung Rapat, SMK Taman Tasik dan SMK Raja Permaisuri Bainun,” kata­nya.