Program kali ke-30 yang turut diadakan sempena Sambutan Hari Bandaraya itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Dr. Ko Chun Sen dan ADUN Canning, Jenny Choy.

Dalam program tersebut, pelbagai aktiviti menarik berlangsung seperti kayuhan santai, pertandingan melukis dan mewarna, kempen kesedaran kitar semula dan kempen kesihatan.

Aktiviti-aktiviti lain termasuklah memanah, street soccer, pemeriksaan kesihatan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), table soccer, demonstrasi teknik pertahanan diri oleh Access Kickboxing, Kempen Jom Kurus oleh Herbalife, pameran kerjaya serta pertunjukan peralatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.

Menurut Pengarah Perancang Bandaraya MBI, Zulqarnain Mohamad, program itu diharap dapat menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar rendah karbon sekali gus menarik kehadiran warga kota untuk bersantai pada hujung minggu.

“Program ini juga diharap dapat meningkatkan Indeks Kebahagian dalam kalangan warga kota bagi memupuk kesedaran mengenai alam sekitar, kesihatan, keselamatan, sejarah dan warisan Ipoh,” katanya.