Setiausaha MPM, Mohd. Helmi Arifin berkata, antara tempat pembuangan sampah haram itu adalah di Sitiawan, Seri Manjung, Ayer Tawar dan Pantai Remis.

Beliau berkata, bagi membanteras aktiviti tidak bermoral itu, pihaknya mewujudkan kumpu­lan aplikasi Telegram sebagai salah satu medium aduan dan maklumat awam berkenaan ma­salah berkenaan.

“Kumpulan aplikasi telegram banteras sampah awam ini sudah diwujudkan sejak tahun lalu dan kita mahu menghebahkan medium ini secara meluas untuk orang awam menyalurkan maklumat kepada MPM dengan lebih mudah.

“Meskipun berdepan kesuka­ran, kami giat menjalankan usa­ha menanganinya dan ia perlu diteruskan untuk kesejahteraan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Executive Talk MPM di Dewan Mohd Anuar, Institut Kemahiran Mara, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Helmi, pi­hak­nya juga menjalankan Program Gotong-Royong Bersih dan Indah MPM yang dilaksanakan pada setiap hari Jumaat.

Katanya, gotong-royong itu akan dijalankan di semua zon pentadbiran MPM bermula pukul 8.30 hingga 11.30 pagi.

“Ia melibatkan ahli majlis dan kontraktor pembersihan bersama masyarakat setempat yang beker­jasama menjalankan aktiviti ini mengikut pecahan kumpulan ditetapkan.

“Secara tidak langsung usaha ini dapat mendedahkan dan meningkatkan kesedaran serta kepentingan menjaga persekitaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, dengan usaha yang dilakukan itu, diharap dapat menjadikan daerah Manjung sebagai sebuah bandar bersih dan indah sekali gus memupuk kese­daran sivik berkaitan aspek kebersihan kepada orang awam.