Bakal dibina di kawasan seluas kira-kira tiga hektar, projek kelolaan kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Harta­nah Perak (LPHP) itu menawarkan 54 unit kediaman jenis setingkat.

Lebih menarik, rumah dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air pada keluasan 860 kaki persegi itu dijual pada harga subsidi kerajaan sebanyak RM70,000.

Zambry berkata, projek tersebut merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri dalam mempercepatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat negeri ini secara mampu milik berbanding harga jualan pasaran yang boleh menjangkau sehingga RM200,000.

“Di bawah kerajaan negeri, kita juga memiliki Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) kelolaan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) selain projek dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Walaupun keluasan tanah yang ada tidak luas, kita tetap akan membinanya bagi memba­ntu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40),” katanya selepas majlis prapelancaran di tapak projek ber­kenaan berdekatan Arena Rakyat Tualang Sekah, di sini hari ini.

Rumah Amanjaya Tualang Sekah merupakan projek keempat yang bakal dilaksanakan selepas 50 unit Rumah Amanjaya Felcra Nasaruddin sedang dalam pembangunan selain Rumah Amanjaya Mukim Ulu Bernam (58 unit) dan Rumah Amanjaya Mukim Slim di Trolak (64 unit).

Secara keseluruhannya, kerajaan negeri merancang untuk membina sebanyak 1,200 unit Rumah Amanjaya menjelang tahun 2018, justeru beberapa tapak strategik di setiap daerah telah dikenal pasti secara berperingkat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi turut mengalu-alukan inisiatif kerajaan negeri dalam melaksanakan projek perumahan itu dengan memberi keutamaan kepada rakyat negeri ini.

Pemohon yang berminat mestilah berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 selain belum memiliki kediaman, sama ada melalui projek perumahan kerajaan ataupun swasta.

Borang permohonan boleh didapati di semua Pejabat Daerah dan Tanah seluruh negeri atau memuat turun di laman: htttp://www.perak.gov.my dengan dokumen lengkap dikembalikan semula kepada LPHP.