Para peserta yang terpilih mengusahakan tanah seluas 234.9 hektar itu diletakkan di bawah seliaan Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah Perak Tengah.

Pada asasnya, setiap peserta mengusahakan tanah seluas 2.43 hektar untuk tanaman padi menggunakan varieti Mat Candu dan Seri Gantang, bermula pada bulan September 1972.

Mereka yang ketika itu ber­usia antara 19 hingga 25 tahun, sebelum itu menjalani latihan intensif ala tentera selama tiga bulan di Rancangan Tanah Belia Khas Perlop Sungai Siput.

Kemudian, setiap peserta dikehendaki tinggal di asrama Institut Pertanian Seberang Pe­rak (IADA) dengan syarat utama - tidak dibenarkan berkahwin dalam tempoh lima tahun bagi melaksanakan kerja-kerja pembangunan tanah hutan kepada kawasan sawah padi.

Bagaimanapun, kesemua kerja gotong-royong membersih, membajak dan menanam padi itu berjaya dilaksana dalam tempoh masa dua bulan sahaja dengan bantuan Jabatan Pertanian yang menyediakan kemudahan asas seperti traktor, baja, benih dan racun.

Setelah mengerjakan sawah berkenaan selama dua tahun, barulah mereka dianugerahkan agihan lot tanah seluas 2.43 hektar setiap seorang pada tahun 1974.

Bermula saat itu, semua urusan kos pengurusan sawah ditanggung sendiri oleh para peserta tanpa menerima bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan.

Namun, setahun selepas itu, mereka berjaya menerima hasil padi bernilai RM300 hingga RM400 sepikul dengan pendapatan semusim antara RM2,000 hingga RM3,000.

Kini, setelah puluhan tahun berlalu, para peserta bersyukur kerana berjaya menempuh pel­bagai dugaan dan cabaran sepanjang menyertai RTBK-SPk.

Sebagai tanda kesyukuran, satu majlis sambutan genap 45 tahun kewujudan RTBK-SPk diraikan oleh kira-kira 600 ahli keluarga peserta dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Taju­ddin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Abdullah Fauzi Ahmad Razali dan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Seorang peserta Marzuki Shaari, 70, menyifatkan sambutan 45 tahun itu membawa erti cukup bermakna kepada para peserta yang cekal dan tabah untuk meneruskan projek berisiko tinggi itu selama ini.

Marzuki berkata, biarpun 20 peserta menarik diri pada peringkat permulaan, namun ia tidak mematahkan semangat 60 individu lain untuk terus bertahan dan setia menjayakan projek berkenaan.

“Alhamdulillah, kerajaan ne­ge­ri telah memberikan pinjaman untuk kos pembangunan sebanyak RM23,000 kepada setiap peserta dengan bayaran balik sebanyak RM400 semusim bagi tempoh 18 tahun sehingga kami menerima geran hak milik tanah,” katanya.