Pengarah Program, Angesia Cooper Ningkan berkata, semua peserta terdiri daripada pelajar, Majlis Tertinggi UPSI serta Exco Kelab Rekreasi Luar UPSI (Kerlu) berjaya menawan Gunung Liang yang setinggi 1,993 meter berkenaan sete­ngah melakukan pendakian selama dua hari.

Menurut Angesia, mereka memulakan pendakian pada pukul 3.30 petang, 24 Mac lalu dan tiba di tapak kem pertama iaitu Lubuk Hantu kira-kira tiga jam kemudian.

“Pendakian diteruskan pada pukul 8 malam dan kami berjaya tiba di tapak kem kedua (Kem 7e) sekitar pukul 12 tengah malam hingga pukul 2 pagi,” katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pendakian ke tapak kem kedua mengambil masa yang agak lama disebabkan oleh faktor trek yang agak mencabar.

Menurutnya, keesokannya pendakian disambung seawal pukul 7 pagi dan pasukan itu berjaya sampai ke Puncak Gunung Liang kira-kira dua jam kemudian.

Angesia memberitahu, semua peserta sangat teruja dan terpegun dengan keindahan pemandangan dari puncak gunung itu.

“Setelah melepaskan lelah sambil menghirup udara nya­man serta mengambil gambar kenangan, kami turun pada pukul 1 petang dan tiba di kaki Gunung Liang pada pukul 5.30 petang,” katanya.

Katanya, program itu diadakan bertujuan menguji kekuatan fizikal dan mental para peserta serta sebagai pendedahan kepada pelajar tentang alam sekitar.

“Peserta juga turut didedahkan dengan pengetahuan survival dan khidmat alam sekitar ketika program berlangsung.

“Selain itu, program ini juga diadakan bagi melihat sikap kepimpinan dan kerjasama an­tara satu sama lain meskipun berbeza umur dan jurusan pe­ngajian,” katanya.

Ekspedisi menawan Gunung Liang itu merupakan ekspedisi kali kedua yang dilaksanakan oleh Kerlu dengan yang pertama pada November 2016.