Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 33,916 merupakan calon sekolah diikuti 2,156 calon persendirian dan 111 calon berkeperluan khas.

Beliau berkata, sebanyak 2,595 petugas peperiksaan ditempatkan di 288 buah sekolah terlibat dengan 325 pusat dibuka merangkumi 291 pusat sekolah dan 34 pusat persendirian.

“Jumlah calon pada kali ini melibatkan satu angka yang agak besar, jadi kita harap para pelajar dapat meneruskan perjalanan mereka dalam proses pendidikan ini dengan lebih baik.

“Kita di pihak kerajaan, mendoakan mereka agar mampu mencipta kejayaan yang pastinya menjadi kenangan manis buat pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Kanan Pentadbiran SMK Anderson, Razak Malek Taharin.

Sementara itu, Razak Malek berkata, selain 185 calon sekolah menduduki SPM di SMK Anderson, terdapat juga 45 calon persendirian.

“Seorang pelajar terpaksa kita kuarantinkan kerana dia mengalami cacar air,” katanya. - UTUSAN ONLINE