Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, jumlah itu melibatkan 23,783 murid tahun satu di sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) (7,702 orang), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) (1,643 orang) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) (105 orang).

Beliau berkata, Daerah Kinta Utara mencatatkan bilangan murid tahun satu paling ramai iaitu sebanyak 9,154 orang diikuti Larut, Matang dan Selama (4,342 orang) dan Manjung (3,937 orang).

“Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM100 untuk keluarga berpendapatan rendah di bawah RM3,000 akan disalurkan pada 4 Januari ini untuk diagihkan terus ke sekolah.

“Sekiranya tidak mencukupi, pihak sekolah boleh membuat permohonan sehingga 30 April ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau suasana hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Pegoh di sini dan turut dihadiri oleh Guru Besarnya, Rustam Affendy Abd. Aziz.

Sebanyak 146 murid tahun satu dan 75 murid prasekolah memulakan sesi persekolahan di sekolah tersebut hari ini.

Sementara itu, pasangan kembar seiras, Mohamad Syakir Anwar Hussein dan adik­nya, Mohamad Syahir, mencuri tumpuan apabila ditempatkan dalam kelas tahun satu yang sama di sekolah berkenaan.

Ibu mereka, Sakinah Ferozdin, 44, berkata, kedua-dua anaknya itu teruja bangun pagi untuk bersiap sedia ke sekolah.

“Apa yang abang inginkan, adiknya pun akan ikut sama. Jadi, saya menyediakan barang keperluan sekolah yang serupa untuk kedua-dua mereka termasuk beg sekolah,” katanya.