Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Datuk Mat Lazim Idris berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 23,859 mendaftar di sekolah kebangsaan (SK) diikuti 7,113 murid di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) (1,709) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) (93).

“Bagi pelajar tingkatan satu pula, dianggarkan 34,817 orang meneruskan pengajian di sekolah menengah di negeri ini.

“Secara keseluruhan, semua sesi persekolahan berjalan lancar di kesemua 1,100 buah sekolah menengah dan rendah di negeri ini,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Bahagia yang mula dibuka pada hari ini sempena hari pertama sesi persekolahan 2018 di sini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin.

SMK Kampung Bahagia yang siap dibina pada 14 Jun tahun lalu dengan kos sebanyak RM30 juta, ketika ini menempatkan 163 pelajar tingkatan satu dan dua.

Sekolah yang dibina berasaskan sistem bangunan berindustri itu memiliki 24 bilik darjah serta 15 makmal dan bilik khas meliputi kawasan seluas 6.7 hektar.

Sementara itu, Mohd. Azhar berkata, melalui pembinaan sekolah menengah baharu, ia dapat menjimatkan kos perjalanan ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mereka sehingga ke pekan Teluk Intan sebelum ini.

“Pembinaan sekolah baharu di sini telah lama diperjuangkan sekitar 40 hingga 50 tahun dahulu. Dengan terbinanya sekolah ini, kita berasa amat bersyukur.

“Selain itu, ia juga dapat me­ngurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di jambatan utama menghala ke Teluk Intan,” katanya.