Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd. Nizar Zakaria berkata, bantuan itu meliputi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor, Pengkalan Baharu, Pantai Remis, Pasir Panjang dan Sitiawan.

“Pemberian sumbangan ini merupakan rutin yang kita lakukan pada setiap kali program permukiman kerajaan negeri di daerah-dae­rah. Kita menziarahi sambil bertanya khabar serta mendengar sebarang permasalahan mereka dan cuba membantu sedaya yang mungkin.

“Malahan melalui program se­perti ini, kita mampu merapatkan ukhuwah sesama Islam serta memberikan semangat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Program Permukiman Menteri Besar di daerah Manjung di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang mualaf, Muhammad Ashraff Swannachor Abdullah, 67, berasal dari Bangkok, Thailand, berkata, dia yang telah memeluk Islam sejak 1999 tidak menyangka penghijrahannya membawa seribu kebaikan termasuk perubahan sikapnya yang sering tidak digemari oleh orang terdekat.

“Saya dulu seorang yang panas baran dan kadang-kadang sampai ke tahap memukul orang tetapi sejak saya berhijrah dan mengikut ajaran agama Islam, saya menjadi lebih sabar dan tenang,” ujarnya.