Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu, pihaknya turut menyita dua lori yang digunakan untuk mengangkut minyak diesel sebelum ia dijual kepada pihak kilang.

Shamsul Nizam berkata, nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan itu dianggarkan sebanyak RM219,313

“Serbuan ini dilakukan setelah kita menerima aduan dan maklumat terdapat aktiviti penyelewengan barang kawalan diesel di premis tersebut.

“Berdasarkan pemerhatian dan risikan selama dua minggu, kita mendapati lelaki tersebut yang merupakan pemilik premis ini masih menjalankan perniagaan barang kawalan diesel secara borong untuk edaran kepada pelanggan yang kebanyakannya pihak industri dan kilang di sekitar negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, siasatan pi­haknya mendapati, syarikat itu pernah beroperasi sebagai pemborong minyak diesel untuk industri di sekitar Lembah Klang beberapa tahun lalu dan mulai beroperasi di sini sejak tiga hingga lima bulan lalu.

Katanya, syarikat tersebut juga didapati mempunyai surat pelantikan yang tamat tempoh sah daripada beberapa syarikat pembekal bahan petroleum beroperasi di negara ini.

“Bagaimanapun, syarikat ter­sebut didapati tidak mempunyai lesen sah untuk berurus niaga diesel daripada Pengawal Bekalan Malaysia,” katanya.

Shamsul Nizam berkata, kes terhadap pemilik premis dan pembekal tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Jika sabit kesalahan, di bawah Akta Kawalan Bekalan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak me­lebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan didenda sehingga RM3,000 serta penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan kedua,” katanya.

“Bagi syarikat pula, jika disabitkan kali pertama boleh didenda tidak melebihi RM2,000 manakala bagi kesalahan kedua, boleh didenda sehingga RM5,000,” katanya.