Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, tindakan tersebut diambil menerusi Operasi Keselamatan Makanan (Ops Zhu) peringkat negeri baru-baru ini yang diadakan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Katanya, dalam operasi bermula 18 Januari lalu sehingga hari ini, sebanyak 12 premis termasuk pasar raya dan kedai runcit diperiksa dengan membabitkan 876 produk makanan.

“Daripada jumlah itu, 81 produk seperti hasil tenusu, makanan bayi dan kekacang didapati tamat tarikh luput. Dua Notis Seksyen 32B iaitu notis memerintahkan kehadiran ke mahkamah telah dikeluarkan kepada peniaga kerana kesalahan tersebut.

“Selain itu, 126 bungkusan produk makanan lagi dikesan rosak, kemek dan alamat pengimport tidak dinyatakan pada label. Kesemua 207 produk yang membabitkan nilai rampasan sebanyak RM4,678.79 ini telah pun disita,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Ops Zhu di sebuah pasar raya di Bercham di sini hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh sama juga, sebanyak 65 sampel makanan diambil untuk dianalisis meliputi premis jualan runcit di seluruh negeri.

Katanya, bagi aktiviti audit verifikasi terhadap premis pemprosesan hasilan daging khinzir, sebanyak enam premis pemprosesan daging salai telah diaudit di sekitar daerah Kinta dan hasil audit itu mendapati kesemua premis berada pada tahap kebersihan memuaskan.

“Satu sampel daging salai telah disampel secara rawak dari premis pemprosesan untuk analisis nitrit dan nitrat. Sampel tersebut dihantar ke Makmal Ke­selamatan dan Kualiti Makanan Pulau Pinang (MKMM),” katanya.