Majlis turut dihadiri Pengerusi PPBM yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyidin Yassin; Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan beberapa menteri.

Sebanyak 100 khemah disediakan di taman tema itu yang menyajikan pelbagai juadah untuk pengunjung.

Dalam majlis tersebut, orang ramai datang seawal jam 11 pagi untuk bermain pelbagai jenis permainan di taman itu, khususnya taman tema air yang dibuka secara percuma sehingga pukul 9 malam.

Selain menikmati pelbagai juadah, pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis popular seperti Datuk Jamal Abdillah, Zamani Slam, Amalina dan persembahan kebudayaan Kumpulan Selendang Perak.

Sementara itu para pengunjung yang ditemui menyatakan rasa kegembiraan kerana dalam menghadiri majlis tersebut.

Ng Chin Teik, 49, dari Taiping berkata, sambutan meriah yang diberikan oleh rakyat pada majlis itu mencerminkan hubungan pemimpin dan rakyat.

“Kehadiran sebegini ramai pengunjung pelbagai kaum dapat mengeratkan hubungan rakyat berbilang kaum,” katanya.

M. Krishnasamy, 60, dari Kamunting datang bersama beberapa orang rakannya ke program tersebut.

“Saya gembira dapat bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Raya bersama rakyat pelbagai kaum dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.

Seorang remaja, Maisarah Shahabudin, 20, dari Lumut berkata, selain menjamu selera, dia yang datang bersama adik beradiknya untuk mandi manda di taman tema itu.

“Majlis seperti ini sewajarnya diadakan lagi untuk rakyat dapat bersama-sama pemimpin dan mengeratkan lagi hubungan antara kaum di negara ini,” katanya.