Setiausaha Politik Siew Keong, Ivanpal Singh berkata, minyak percuma diberikan kepada pemilik motosikal 150cc ke bawah di stesen minyak Petron, Batu 7 Changkat Jong dekat sini.

Katanya, progam itu bermula pada pukul 2 hingga 5 petang menawarkan bantuan minyak petrol antara tiga hingga lima liter kepada pemilik motosikal bawah 150cc.

“Sumbangan ni merupakan pendekatan untuk bantuan rak­yat khususnya yang berpendapatan rendah,” katanya.

Menurutnya, program itu akan diteruskan pada masa akan datang.

“Pemberian minyak percuma ini telah diadakan sebelum ini di stesen Petronas Jalan Maharajalela di sini sebelum ini de­ngan kira-kira 5,000 penunggang motosikal menerima petrol percuma,” katanya.

Sementara itu, mengenai senario politik di Parlimen Teluk Intan, Ivanpal berkata, pembangkang tiada isu hendak dimainkan untuk menyerang BN.

Katanya, pembangkang memainkan isu kitar semula yang sudah lapuk seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup.

“Saya yakin Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kerusi Parlimen Teluk Intan yang dimenangi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen pada 2014,” katanya.

Presiden Gerakan, Siew Keong menang PRK Teluk Intan pada 2014 menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud dengan 20,157 undi berbanding 19,919 undi.