Kumpulan mat rempit itu ditahan selepas memandu secara berbahaya dan membuat pu­singan ‘U’ secara berulang-ulang kali di Jalan Kledang Utara dekat Falim di sini, kira-kira pukul 2.30 pagi.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Chamberlin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk tujuan dokumentasi sementara 35 motosikal disita bagi siasatan lanjut.

“Sebanyak tiga individu ditangkap kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan seorang lagi mengikut Seksyen 45(1) akta sama.

“Dua daripadanya merupakan pelajar lelaki sekolah menengah berusia 14 dan 18 tahun dari Tronoh. Sementara itu, dua lagi ditangkap masing-masing berusia 29 dan 44 tahun yang bekerja di kilang dan pasar borong,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Ali memberitahu, turut ditahan ialah seorang pengawal keselamatan lelaki berusia 20 tahun di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut beliau, operasi bermula pukul 12.01 tengah malam hingga 7 pagi itu juga telah memeriksa sebanyak 245 individu melibatkan 231 kenderaan.

“Secara keseluruhan, seba­nyak 211 saman dikeluarkan me­libatkan pelbagai jenis kesalahan termasuk 33 kes tiada lesen memandu,” katanya.