Kehadiran lalat yang begitu banyak bukan sahaja menyebabkan mereka resah, malah bimbang boleh mengancam kesihatan.

Seorang penduduk, S. Gunalan, 45 berkata, sebelum adanya ternakan ayam di kampung itu, mereka tidak dibelenggu masalah gangguan lalat.

“Kini, kehidupan kami tidak tenteram. Penduduk di sini juga bimbang kerana perniagaan mereka juga terjejas apabila pelanggan enggan datang ke kedai kerana lalat sentiasa hinggap pada makanan jika makanan tidak ditutup.

“Mereka bimbang kesihatan akan terganggu apabila lalat hinggap pada makanan. Bagaimana mereka mahu mencari rezeki sekiranya masalah ini berlarutan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, V. Raman, 79, berkata, pihak berkuasa diminta mengambil tindakan segera bagi menangani masalah yang hadapi itu.

“Sudah banyak aduan yang kami laporkan kepada pihak bertanggungjawab namun, hampa kerana mereka tidak menghiraukan laporan kami.

“Sejak masalah gangguan lalat ini berlaku, anak-anak kami tidak boleh fokus dalam pelajaran. Selain itu, apabila saudara-mara berkunjung ke rumah terutamanya ketika musim perayaan dan kenduri, mereka seolah- olah jijik untuk makan di rumah kami,” katanya.

Rakannya, Ahmad Najib Mohd. Hassan, 32, pula memberitahu, kehadiran serangga itu dalam jumlah yang banyak menyebabkan hidup mereka tidak tenang.

“Masalah lalat boleh membahayakan kesihatan jika makanan tidak ditutup dengan tudung saji. Ia akan menjejaskan kesihatan termasuk boleh terkena cirit-birit.

“Selain itu, apabila kami menyidai pakaian di ampaian terutamanya baju sekolah yang berwarna putih akan cepat kotor kerana dihinggapi lalat. Saya harap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya bagi me­ngatasi masalah yang sudah lama membelenggu kami ini,” katanya.