Mereka yang tinggal di kawasan Parlimen Pasir Salak, Teluk Intan dan Bagan Datuk itu merupakan sebahagian daripada 2,000 nelayan darat yang didaftarkan di negeri ini.

Golongan itu bergantung hidup terhadap sumber perikanan darat seperti sungai, tasik dan bekas lombong.

Elaun berjumlah RM200 setiap seorang itu disampaikan oleh Penolong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Zabri Abd. Wahid di Jeti Nelayan Kampung Durian Sebatang di sini hari ini sempena Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak yang bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

Yang turut hadir Pengarah Perikanan negeri, Dr. Bah Piyan Tan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin.

Sementara itu, seorang pene­rima, Ibrahim Shafie, 60, berkata, elaun berkenaan sedikit sebanyak dapat membantunya membeli barang-barang keperluan seharian.

“Alhamdulillah, hampir dua tahun saya menerima elaun ini dan wang tersebut banyak membantu terutama apabila tidak dapat turun ke sungai. Jadi, boleh saya beli-belah barang keperluan seharian untuk meneruskan kehidupan,” kata nelayan dari Permatang Pelanduk dekat sini.

Ghazali Mohd. Rashid, 64, dari Kampung Durian Sebatang pula berkata, elaun berkenaan amat pen­ting untuk golongan nelayan berikutan pendapatan mereka tidak tetap.

“Bukan tiap-tiap hari kami turun ke sungai untuk menangkap ikan dan udang, kadangkala sampai seminggu tidak dapat turun kerana hujan.

“Jadi wang inilah kami gunakan untuk membeli barang-barang keperluan untuk bot dan sampan,” katanya.